Kisah ini berlaku waktu satu rombongan guru pelatih membuat rombongan ke tempat bersejarah. Apabila sampai ke tempat yang dituju, para guru pelatih mendapati kawasan tersebut sunyi sepi. Tiada orang. Rupa-rupanya tempat bersejarah itu tidak pernah dikunjungi oleh sesiapa. Kawasan terpencil.
Nak dijadikan cerita, seorang guru pelatih perempuan yang begitu tekun mencatit dan memerhati kesan-kesan sejarah di kawasan tersebut, telah ditinggalkan oleh bas rombongannya tanpa disedari. Sedangkan trainernya pula fikir kesemua guru-guru pelatih sudah ada di dalam bas lalu bertolak pulang.
Maka, tak keruanlah guru perempuan yang ketinggalan bas itu keseorangan di tempat bersejarah yang terpencil pula. Jadi dia pun nekad berjalan keluar dari tempat tersebut dan mencari kampung yang berdekatan untuk meminta bantuan.
Guru perempuan itu mula menangis apabila telah sejam berjalan tetapi dia masih tidak menjumpai sesiapa. Dia meneruskan perjalanan sehinggalah dia ternampak sebuah pondok kecil. Sungguh rianglah hatinya lalu diketuk pintu pondok itu berkali-kali. Beberapa saat kemudian, keluarlah seorang pemuda yang berumur dalam lingkungan 20tahun lebih dan bertanya,
"Siapa kamu?"
Maka, guru tersebut pun menceritakan segala-galanya kepada pemuda yang tidak dikenali itu dan bertanyakan arah jalan keluar ke pekan.
Berkatalah pemuda itu bahawa tempat yang ingin ditujunya terletak di bahagian selatan dan sangat jauh. Manakala, tempat di mana mereka berada kini terletak di sebelah utara dan memang tidak didiami sesiapa. Sementara hari pula semakin gelap. Menangislah guru berkenaan mengenangkan nasib malangnya itu.
Melihat guru tersebut menangis tersesak-esak, timbul rasa belas dalam hati pemuda itu lalu mempelawa guru tersebut untuk bermalam di pondoknya sementara menunggu subuh esoknya untuk dihantar pulang.
Tanpa berfikir apa-apa lagi, guru perempuan itu setuju untuk bermalam di pondok pemuda berkenaan.
Pemuda itu menyuruh guru perempuan itu tidur di atas katilnya, manakala dia tidur di atas lantai berhamparkan sehelai kain. Pemuda itu juga menggantung sehelai kain untuk dijadikan penghadang tempat tidur antara mereka berdua.
Pemuda itu kemudiannya duduk di satu sudut pondok dan membaca buku. Guru perempuan itu pula sangatlah takut jikalau diapa-apakan oleh pemuda yang tidak dikenalinya itu, lalu dia menutup seluruh tubuh badannya dengan sehelai kain gebar dan matanya tidak henti-henti mengawasi pemuda misteri itu.
Tiba-tiba pemuda itu menutup buku dan bangun mendekati lilin yang terletak di atas meja berdekatannya. Lalu menghalakan satu persatu jarinya di atas api lilin tersebut sambil menahan sakit. Bertambah paniklah guru perempuan tersebut apabila melihat keadaan itu. Difikirkan mungkin pemuda itu mengamalkan ilmu songsang. Menggeletar seluruh tubuhnya menahan rasa takut yang teramat sangat. Maka kedua-duanya pun tidak dapat tidur hinggalah keesokan paginya.
Apabila terbit fajar, pemuda tersebut menghantar guru itu pulang.
Setibanya di rumah, guru itu menceritakan apa yang telah terjadi kepada ibubapanya. Bapa guru perempuan itu dengan seribu persoalan mengesyaki sesuatu telah berlaku memandangkan keadaan anaknya yang kelihatan sakit,pucat lesi dan berada dalam ketakutan yang amat sangat.
Si bapa pun pergi ke tempat yang dimaksudkan anaknya. Beliau menyamar sebagai seorang pemburu yang tersesat dan bertanyakan jalan kepada pemuda itu. Melihat jari-jari pemuda tersebut berbalut lalu bertanyalah beliau kepada pemuda itu mengapa kesemua jari-jari tangan kanannya berbalut.
Pemuda itu pun menceritakan bahawa dua malam yang lepas telah datang seorang gadis muda yang sangat cantik rupa parasnya menumpang tidur di pondoknya. Dan sudah tentu pada ketika itu syaitan iblis sudah berada bersama mereka. Disebabkan takut terjadinya perkara yang tidak diingini berlaku, pemuda itu membakar jarinya satu persatu supaya dapat menghindarkan diri dari berfikir untuk memperkosa perempuan tersebut.
Mendengar penjelasan pemuda itu, si bapa kemudian mempelawa pemuda itu datang ke rumah beliau dan berhajat mengahwinkan anaknya dengan pemuda tersebut tanpa pengetahuan pemuda itu bahawa perempuan yang bakal dikahwininya adalah perempuan yang telah menumpang tidur di katilnya 2 malam yang lalu... :)
MORAL KISAH INI :
Apabila kita nak melakukan zina atau apa-apa dosa, terlebih dahululah letakkan jari-jari kita di atas api secara statik. Tak payahlah atas api yang besar, api yang sekecil api lilin pun sudah memadai. Dan tak perlulah bakar lama-lama, cukuplah hanya beberapa saat bersamaan dengan berapa saat dosa yang kita nak lakukan tu.Sanggup tak? Kalau tak mampu menahannya, maka TAK PAYAH lakukan....
Ingatlah bahawasanya api di dunia ini adalah daripada api neraka yang telah dinyalakan selama 3000 tahun lamanya.
Rasulullah saw telah bersabda :
"Api neraka telah dinyalakan selama seribu tahun sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga gelap bagaikan malam yang kelam."
Sebanyak sebesar zarah sahaja api neraka yang dibawa ke dunia yang sebelumnya telah dicelupkan sebanyak 70 kali di dalam 70 batang sungai di syurga. Api neraka yang sebesar zarah itu tadi diletakkan di atas sebuah bukit di atas dunia ini lalu bukit tersebut cair sejurus selepas diletakkan maka cepat-cepat Malaikat Jibril mengambil api neraka itu dan menghantar semula ke neraka.
Jadi, tinggallah sisa-sisanya sahaja yang kita manfaatkan sehingga ke hari ini. Betapa panasnya sisa-sisa api daripada api neraka yang sebesar zarah, yang telah disejukkan sebanyak 70 X 70 itu, yang kita gunakan di atas dunia ini. Itupun kita tak dapat tahan, inikan pula api neraka yang sebenarnya. Maknanya, takde lah panas api kat sini jika nak dibandingkan dengan api neraka di sana kelak.
Sama-samalah kita fikirkannya.. :)


No comments:
Post a Comment